Posts

Pilihan hidup

  Pilihan hidup Aku memilih hidup sederhana, bukan kerana harta atau nama, tetapi kerana pagi yang tenang, pokok, sungai, dan nafas bumi. Aku boleh mengambil lebih banyak, tetapi mengambil itu bererti melukai — menghilangkan nyawa monyet, tupai, dan makhluk kecil yang menumpang di tanah ini. Maka aku biarkan mereka hidup, bermain di dahan, berlari di rumput, kerana hutan ini rumah kita bersama. Inilah kebahagiaan, inilah kebebasan: hidup dengan belas kasihan, dan meninggalkan tempat ini subur untuk semua kehidupan. Jika kamu mengingati aku, jangan ingat umurku sahaja — ingatlah bahawa belas kasihan adalah kekuatan, dan kebaikan adalah jalan yang benar.

Sikap positif jadi pedoman

 Sikap Positif Membimbing Jalan Sikap positif suluh perjalanan, Walau berliku tetap bertahan. Harapan mekar di tiap cabaran, Menjadi kekuatan jiwa dan iman. Hidup bererti terus berusaha, Tidak goyah dilanda gelora. Hati yang tenang, fikiran terbuka, Menyulam bahagia selamanya. Jika rebah bangun semula, Jangan dibiarkan jiwa kecewa. Senyum terbit bagai cahaya, Menghalau duka, memberi bahagia. Langkah kecil menuju kejayaan, Sabar kunci ketabahan. Setiap mimpi pasti terserlah, Jika diiring doa dan usaha. Sikap positif laksana pelita, Menunjuk jalan ke arah bahagia. Selagi hidup, terus percaya, Harapan itu tiada sempadannya. Biar angin ribut menggoncang diri, Keyakinan teguh janganlah lari. Pelangi muncul selepas hujan, Tanda harapan sentiasa bertahan. Sikap positif jadi bekalan, Membina damai dalam perjalanan. Hidup indah bila dihiasi, Dengan semangat murni yang abadi.

Bisikan bayu

  --- 2 September 2025 “Engkau berada di tepi tebing sungai Sri Bayu. Memang di sini tempat yang sepatutnya.” Hujan lebat dan ribut petir menguji mu.  Yakinlah pada ketentuan waktunya, Walau bayangan masa depan belum nyata. Setiap cabaran dan rintangan yang dilalui, Telah mempersiapkan langkahmu kini. Berjalanlah dengan hati yang yakin, Bersuara dengan kejujuran yang tulus. Terimalah keajaiban yang sedang mendekat, Buka hatimu, penuh syukur, Sedia menerima segala nikmat dan peluang, Dan biarkan hidup mengalir dengan harmoni.

Salamku untuk semua

 Pesan Untuk Alam Semesta Wahai Alam Semesta, Aku berterima kasih pada hidup yang kau titipkan, pada denyut nafas yang tak pernah berhenti, pada kasih yang mengikat jiwa dengan jiwa, dan pada saat kini yang membukakan segala keajaiban. Aku belajar daripada matahari yang setia terbit, daripada bulan yang sabar menunggu malam, daripada bintang yang berkelip tanpa lelah, dan daripada bumi yang rela menampung segalanya. Terimalah syukurku yang sederhana, semoga cintaku berpadu dengan cintamu, agar hidup ini berjalan seimbang, dan kasih sayang mengalir ke seluruh penjuru.

Kesyukuran hari ini

 Kesyukuran Fajar menyinsing, nafas diberi, Hidup terjaga, anugerah murni. Setiap detik, denyut berlari, Kehidupan mengalir, tiada henti. Kasih tersirat, mesra terasa, Dalam senyuman, jiwa manusia. Saat kini luas, sunyi mendalam, Menyimpan abadi, tanpa sempadan. Maka ku tunduk, penuh kerendahan, Syukur di hati, jadi pedoman.

Dunia Sri Bayu

 Taman Sri Bayu Di sini, di Taman Sri Bayu, Pohon menjulang menongkat langit biru. Angin berbisik, menyanyi lagu sayu, Daun berguguran menari di lantai kayu. Sungai mengalir, jernih tanpa ragu, Mencari lautan, biru yang satu. Ikan berenang, mengejar alga hijau, Menghidupkan dunia, di Sri Bayu Burung berkicau, sambut cahaya pagi, Keluar dari celah dahan, mengusir sunyi. Alam bersuara, mengajar erti damai, Sebelum malam turun, menyentuh hati yang sepi.

Jurnal Kesyukuran 25 Ogos

Jurnal Kesyukuran  Hari ini saya berhenti sejenak untuk merenung. Saya bersyukur kerana kehidupan itu sendiri — peluang untuk wujud di dunia yang luas dan penuh misteri ini. Saya bersyukur kerana dapat hidup setiap detik, menikmati nikmat bernafas, berjalan, mendengar burung berkicau, dan merasai hangatnya mentari. Dan setelah melalui segala cabaran: Covid 19 , Vaksin dan kesakitan teruk, banjir besar, kebakaran, saya amat bersyukur masih hidup, masih di sini, masih dapat merasai, belajar, dan mengasihi. Masalah dapat ditangani. Kembali ke jalan damai dan permai tsb.