Simfoni burung liar
Tajuk: Waktu Pagi dan Simfoni Burung Liar
Pagi 10 Mei saya memerhatikan alam sekeliling tebing sungai terdengar bunyi alam semula jadi yang saya kenali dan kasihi. Di celah rumput liar, seekor ruff betina bergerak perlahan—tidak menonjol seperti jantannya, tapi kehadirannya tetap memberi warna kepada pagi yang damai. Di kejauhan, burung wok-wok memanggil dengan suaranya yang garau dan penuh irama. Sedikit kemudian, suara ketitir mengambil alih, ritma tiga nada yang berulang-ulang, seperti mantra dari rimba. Dan tidak lama selepas itu, si mynah atau tiong mula menyampuk dengan celotehnya yang nakal dan penuh keyakinan.
Dengan berdiam diri mendengar semuanya seperti satu orkestra semula jadi. Tiada muzik buatan manusia yang mampu menandingi susunan bunyi alam ini. Setiap pagi, burung-burung ini memainkan peranan tanpa disuruh. Mereka hadir, bersuara, bergerak, dan menghidupkan ruang.
Kadangkala saya berfikir—kita manusia terlalu sibuk mencari erti, sedang makhluk lain hanya hidup dan menerima saat ini apa adanya. Mungkin itulah yang menjadikan mereka bebas.
Saya terus mendengar. Dan saya terus belajar mendengar Dan memerhati.
Comments
Post a Comment